Dakwaan ada unsur jenayah, jawatankuasa Parlimen syor Wan Saiful buat repot

Dakwaan ada unsur jenayah, jawatankuasa Parlimen syor Wan Saiful buat repot

Maca lalu Wan Saiful Wan Jan mendakwa dirinya diugut dan ditawar 'habuan' untuk menyokong kerajaan.

wan saiful wan jan
Jawatankuasa juga mendapati ucapan Wan Saiful Wan Jan di Parlimen tidak mengelirukan Dewan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dinasihatkan membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Menerusi laporan dikemukakan Speaker Johari Abdul pada 12 Dis, jawatankuasa mengesyorkan perkara berkenaan selepas mendapati keterangan pemimpin Bersatu itu berkemungkinan melibatkan kesalahan jenayah yang memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa.

Katanya, jawatankuasa mendapati ada keterangan menunjukkan berlaku pertemuan didakwa Wan Saiful termasuk pelbagai tawaran melibatkan pengguguran pertuduhan, memberi imbuhan dan menanggung kos perubatan isteri, kos guaman dan peruntukan Parlimen.

“Oleh itu, keterangan tersebut perlu penelitian lanjut oleh pihak berkuasa serta menentukan keesahannya.

“Jawatankuasa ini mengesyorkan supaya Ahli Parlimen Tasek Gelugor membuat laporan rasmi berhubung perkara ini kepada badan penguatkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memiliki kuasa serta sumber lebih wajar untuk menyiasat,” katanya.

Jawatankuasa juga mendapati ucapan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu di Parlimen tidak mengelirukan Dewan.

Pada 24 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya bahawa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan.

Pada 22 Mac lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi memfailkan usul merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa berkenaan selepas pemimpin Bersatu itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen PN untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai ‘Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim’ membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.