
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata 136 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM434 juta diselesaikan Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK), dengan 387 individu ditahan dalam operasi seperti Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste.
“Cawangan itu turut bekerjasama dengan National Resources Environment and Sustainability (NRES) dan United Nations Development Programme bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hidupan liar serta pemuliharaan spesies haiwan ikonik, khususnya Harimau Malaya di Semenanjung, Banteng di Sabah dan Orang Utan di Sarawak.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberikan impak positif menerusi pelbagai kategori tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan lebih RM279 juta,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2024 anjuran KDNKA di Bukit Aman.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah KDNKA, Azmi Abu Kassim.
Razarudin berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menjalankan 34 serbuan dengan nilai rampasan RM37.1 juta dan menahan 76 individu, manakala Pasukan Polis Marin (PPM) pula menyelesaikan 7,103 kes jenayah di perairan negara, termasuk melibatkan aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan dan saman RM210 juta.
Mengenai prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM), beliau berkata, ia mencatat peningkatan 0.7% kepada 121.3 mata berbanding 120.4 mata pada 2022.
“Sungguhpun begitu, antara komponen dalam subkomposit sosial, iaitu Indeks Keselamatan Awam didapati merosot 1.7 mata kepada 127.6 mata pada 2023 berbanding 129.3 mata pada 2022.
“Penurunan itu disebabkan peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah. Justeru, saya menyeru semua warga PDRM terus komited menjamin kesejahteraan masyarakat, sekali gus memastikan keselamatan negara berada di tahap optimum.”
Razarudin berkata, Kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun depan menuntut semua warganya memperkasakan dan memperkukuhkan lagi integriti serta tata kelola baik seperti dihasratkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Pada perhimpunan itu, Razarudin menyampaikan sijil penghargaan ketua polis negara kepada 73 penerima daripada pelbagai jabatan dan formasi.