12 penuntut UMT ditahan disyaki pukul pelajar hingga cedera

12 penuntut UMT ditahan disyaki pukul pelajar hingga cedera

Polis berkata semua suspek disyaki memukul seorang pelajar bergilir-gilir hingga cedera di kolej kediaman universiti berkenaan.

Semua 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu itu direman hingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Polis menahan 12 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membantu siasatan kes seorang pelajar lelaki yang dipukul secara bergilir-gilir hingga cedera.

Pemangku Ketua Polis Kuala Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata semua lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan mendakwa anaknya berumur 20 tahun dipukul di kolej kediaman di universiti itu antara 1 hingga 5 pagi Ahad lepas.

“Kejadian dimaklumkan oleh mangsa kepada pengadu (bapa) melalui telefon pada 10.50 malam (Ahad) semasa pengadu berada di rumahnya di Melaka. Mangsa turut menghantar beberapa gambar yang menunjukkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan.

“Pengadu kemudian tiba di Kuala Terengganu pada 16 Dis (Isnin) dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan di unit kecemasan, sebelum mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Wan Zaki berkata pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek tumpul pada lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki kanan mangsa.

Beliau berkata senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas manakala semua penuntut itu direman hingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pejabat Komunikasi Korporat UMT dalam kenyataan mengesahkan terdapat laporan dibuat kepada pihak polis berkaitan salah laku pelajarnya.

Kenyataan itu memaklumkan pihak universiti memandang serius insiden itu dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, UMT sedang menjalankan siasatan dalaman dan menegaskan bahawa setiap pelajar hendaklah sentiasa mematuhi Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024.

“Sebagai sebuah universiti berkepentingan awam, UMT sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terpelihara serta tidak dikompromi,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.