‘Saya malu mereka dalam Kabinet saya’, Dr M sifatkan 3 bekas menteri bohong

‘Saya malu mereka dalam Kabinet saya’, Dr M sifatkan 3 bekas menteri bohong

Bekas perdana menteri merujuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, dan Loke Siew Fook berkait Batu Puteh.

azizah mahathir
Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah timbalan perdana menteri ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja menyifatkan tiga bekas anggota Jemaah Menteri berbohong, malah malu kerana mempunyai menteri seperti mereka.

Bekas perdana menteri menyuarakan perkara itu susulan minit mesyuarat yang dikatakan bocor mengenai keputusan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Batu Puteh.

“Minit mesyuarat Kabinet yang bocor menunjukkan kenyataan dibuat oleh tiga menteri itu tidak benar dan bohong.

“Saya rasa malu kerana mereka ini duduk di dalam Kabinet saya ketika itu tetapi berbohong,” katanya menurut Sinar Harian selepas melepaskan konvoi misi kemanusiaan pasca banjir, di Putrajaya.

Mahathir mengulas minit Kabinet diterima Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan, antara lain mengesahkan ia adalah keputusan bersama dicapai berkait Batu Puteh.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi juga merujuk kenyataan bersama bekas anggota Jemaah Menteri ketika pentadbirannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, dan Loke Siew Fook mendakwa beliau tidak memberi ruang kepada mereka membuat keputusan mengenai pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh.

Ketika itu, Wan Azizah, Loke, dan Mohamad adalah timbalan perdana menteri, menteri pengangkutan dan menteri pertahanan.

Mereka berkata, keputusan tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh dibuat Mahathir sendiri tanpa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Mahathir menegaskan sebarang keputusan dibuatnya adalah teratur dan mengikut prosedur.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan antara lain mengesyorkan siasatan jenayah terhadap Mahathir boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.

Ia susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri diketuainya pada 2018 menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Batu Puteh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.