
KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 dilaporkan berlaku di Ranau pada 10.01 pagi tadi.
Semalam, daerah itu turut dilanda gempa bumi lemah bermagnitud 2.8 pada 2.56 petang.
Jabatan Meteorologi memaklumkan gempa bumi hari ini berlaku di 14km barat Ranau.
Menurutnya, gempa lemah pada kedalaman 10km itu dipercayai mengakibatkan gegaran di daerah Ranau.
“Jabatan Meteorologi akan terus memantau keadaan ini,” katanya dalam kenyataan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan setakat ini tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.