Pelayan restoran warga China didakwa bunuh rakan senegara

Pelayan restoran warga China didakwa bunuh rakan senegara

Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Yang Yahong, 34, dituduh membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa beberapa kali di sebuah restoran di pusat beli-belah Cheras bulan lepas. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pelayan restoran warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa beberapa kali di sebuah restoran di pusat beli-belah Cheras bulan lepas.

Yang Yahong, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Mandarin di depan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa membunuh rakan sekerjanya yang juga juruwang, Zhang Wei, 34, di sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan pada 4.30 petang 29 Nov lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali.

Mahkamah menetapkan 12 Feb depan untuk sebutan kes bagi laporan bedah siasat dan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditikam beberapa kali di badannya dengan pisau. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dengan ambulans ke hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.