Hubungan tegang dengan ‘panglima’ Umno sebab Tengku Zafrul mahu bawa diri, kata sumber

Hubungan tegang dengan ‘panglima’ Umno sebab Tengku Zafrul mahu bawa diri, kata sumber

Sumber dakwa pemimpin tertentu dalam Umno berkomplot untuk ketepikan Tengku Zafrul susulan prestasi buruk parti di Selangor.

Tengku Zafrul Aziz dikatakan anggota penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz mungkin terdorong untuk mengintai masa depan dengan PKR disebabkan hubungan tegang dengan ‘panglima-panglima’ dalam Umno, berpunca daripada pengelutan kuasa dan rasa tidak puas hati dalam parti, menurut sumber.

Sumber yang minta tidak dinamakan itu mendakwa pemimpin Umno tertentu berkomplot untuk mengetepikan menteri pelaburan, perdagangan dan industri susulan prestasi buruk parti itu pada PRN 2023.

Umno, yang merupakan tunjang Barisan Nasional, sekadar menang dua kerusi daripada 12 kerusi ditandingi di Selangor pada Ogos 2023 di Selangor, bersamaan kadar kejayaan kurang 17%.

Pada April, Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai bendahari kerana tidak dapat melakukan sebarang penambahbaikan untuk kebangkitan Umno di Selangor.

Ketika itu, beliau mengkritik Umno Selangor atas pelaksanaan rancangan kebangkitan parti yang hambar, susulan prestasi buruk pada PRN.

“Jadi saya tak terkejut jika ‘warlord’ (panglima) Umno membuat keputusan untuk menyingkirnya. Tengku Zafrul menyedari perkara ini selepas PRN,” sumber beritahu FMT.

Sumber turut mendedahkan Tengku Zafrul, yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno, sedia bertanding PRN Selangor, namun perancangan itu terganggu selepas pemimpin tertentu dalam parti menyuarakan rasa tidak puas hati dengannya.

Sumber itu berkata wujud juga kebimbangan bahawa Tengku Zafrul, yang dianggap anggota penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan terlalu menyerlah dan akhirnya menggantikan seorang pemimpin Umno tertentu.

“Ini sifat lazim ‘warlord’ Umno. Mereka tidak menyukai sesiapa yang mampu lebih menyerlah daripada mereka.”

Belot atau bakat?

Menyifatkan Tengku Zafrul sebagai tokoh berbakat yang mempunyai pertalian rapat dengan institusi diraja, sumber berkata kekuatannya itu mungkin memburukkan lagi rasa tidak senang hati terhadapnya.

“Ini menjadikannya sasaran mudah puak-puak tertentu.”

Sumber berkata ada kemungkinan Tengku Zafrul akan dikritik memandangkan perbincangan beliau dengan PKR diketahui umum, malah beberapa pemimpin Umno sudah pun menggelar beliau ‘pembelot’.

“Bagaimanapun, semua orang tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

Perkara ini tersingkap di sebalik spekulasi mendakwa Tengku Zafrul merancang untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Dalam kenyataan pada Ahad, beliau mengesahkan ada perbincangan dengan PKR untuk menyertai parti itu, namun belum ada keputusan yang dibuat.

Beliau menafikan terlibat dalam perbincangan berhubung jawatan di peringkat negeri atau PRK, susulan desas-desus beliau akan jadi menteri besar jika berhijrah ke PKR.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Akmal Salleh menyuarakan bantahan terhadap ‘lompat parti’ dalam kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.