
Loke menjelaskan, mesyuarat Jemaah Menteri pada Mei 2018 hanya ‘mengesahkan’ keputusan Mahathir untuk menggugurkan dua permohonan undang-undang berkaitan Batu Puteh, yang menurutnya dibuat lebih awal.
Katanya, beliau dan menteri Pakatan Harapan lain hanya mengikut keputusan Mahathir, yang beliau tegaskan sudah dibuat awal, sebagai satu formaliti.
“Kami hanya mengikut keputusan itu kerana ia adalah mesyuarat Jemaah Menteri pertama kami. Ramai antara kami pun tidak tahu bagaimana rupa memorandum Jemaah Menteri.
“Perdana menteri membangkitkan perkara itu secara lisan, dan kami menyangka keputusan itu sudah pun dibuat. Ia hanya pengesahan ke atas keputusan awal beliau.
“Hanya kemudian kami sedar bahawa keputusan Jemaah Menteri sepatutnya dibuat berdasarkan memorandum Jemaah Menteri. Mengimbas kembali, ini tidak berlaku dalam kes Batu Puteh,” katanya kepada pemberita di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024.
Loke, yang juga menteri pengangkutan dalam pentadbiran Mahathir dari 2018 hingga 2020, mempertahankan kenyataannya bahawa keputusan mengenai Batu Puteh ketika itu dibuat tanpa melalui proses yang menyeluruh.
Loke, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Mohamad Sabu sebelum ini mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu Batu Puteh semasa ia dibangkitkan oleh Mahathir dalam mesyuarat itu.
Mereka mendakwa, tiada ruang diberikan untuk membuat keputusan kerana Mahathir sudah melakukannya secara bertulis, merujuk surat yang Mahathir hantar kepada peguam cara negara mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, Mahathir berkata, minit mesyuarat Jemaah Menteri akan menunjukkan bahawa mereka berbohong.
Beliau menegaskan bahawa mereka dan menteri lain bersetuju untuk menggugurkan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018 berhubung Batu Puteh.
Namun, Loke merujuk semula laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu tersebut, khususnya proses membuat keputusan kerajaan yang kekurangan dokumentasi dan rundingan yang sewajarnya.
“Laporan RCI menyimpulkan bahawa isu sepenting ini, yang melibatkan kedaulatan negara, sepatutnya melalui proses lebih menyeluruh.
“Tiada dokumen untuk kami rujuk, tiada taklimat terperinci, dan tiada input daripada agensi-agensi berkaitan. Kami tiada asas untuk membuat keputusan,” kata Loke.
Laporan RCI menyebut bahawa Mahathir menulis kepada peguam cara negara pada 21 Mei 2018, menyatakan bahawa permohonan ICJ itu ‘tidak perlu diteruskan’. Peguam cara negara kemudian memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia akan menggugurkan kedua-dua permohonan undang-undang tersebut.
Menurut laporan itu, Singapura dimaklumkan pada 9 pagi, 23 Mei 2018, manakala mesyuarat Jemaah Menteri hanya bermula pada 9.30 pagi hari sama dan membincangkan isu tersebut bawah agenda ‘hal-hal lain’.