Bayi ditemui dalam kotak di medan selera

Bayi ditemui dalam kotak di medan selera

Polis berkata bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui seorang peniaga pada jam 5.52 pagi semalam.

baby bayi
Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata bayi yang dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk pemeriksaan lanjut. (Gambar Rawpixel)
BATU PAHAT:
Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di kawasan Medan Selera Yong Peng di sini semalam.

Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada seorang wanita yang memaklumkan penemuan terbabit ketika ingin memulakan perniagaannya, kira-kira 5.52 pagi.

Beliau berkata bayi masih bertali pusat dan dibaluti sehelai kain batik berserta tuala itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen atau nota tertentu dan kejadian itu turut tular di laman sosial.

“Bayi yang dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan fizikal itu kemudian telah diselamatkan oleh polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Shahrulanuar memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Nurul Aqila Che Ali melalui talian 011-55882109 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Selain itu, boleh salurkan maklumat kepada Hotline IPK Johor di 07-2212999 atau IPD Batu Pahat 07-4343999,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.