Amirudin tak perlu diganti, kata PKR Selangor

Amirudin tak perlu diganti, kata PKR Selangor

Kepimpinan Amirudin Shari masih ditagih untuk mentadbir negeri.

amirudin shari tengku zafrul
PKR Selangor tidak memerlukan pengganti Amirudin Shari buat masa ini susulan spekulasi kemasukan Tengku Zafrul Aziz ke dalam parti itu.
PETALING JAYA:
Amirudin Shari sudah melakukan tugas dengan baik justeru tidak perlu diganti, kata Naib Pengerusi PKR Selangor Gunaraj George susulan spekulasi kemasukan Tengku Zafrul Aziz ke dalam parti itu.

Gunaraj berkata, kepimpinan Amirudin juga masih ditagih untuk mentadbir negeri.

“PKR negeri juga tidak memerlukan pengganti Amirudin buat masa ini. Kepimpinan Amirudin diperlukan dan dia ada trek rekod bagus,” katanya kepada FMT.

Gunaraj George
Gunaraj George.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berpendapat tindakan ‘mengumpan’ ahli parti itu untuk menyertai parti lain dalam kerajaan perpaduan patut dielak kerana ia umpama satu ‘resepi keretakan’.

Katanya, Umno sebagai parti yang paling terkesan sebelum ini akibat budaya ‘lompat-melompat’ menyedari kesan buruk akibat tindakan itu.

Mengulas lanjut, Gunaraj berkata kenyataan Wan Rosdy tidak berasas kerana PKR tidak pernah mempelawa sesiapa untuk menyertai mereka dan pada masa sama menggesa Tengku Zafrul menyatakan pendirian sama ada masih bersama Umno atau tidak.

“Tengku Zafrul kena keluar daripada parti dan baru boleh mula runding dengan sesiapa dia nak runding. Setakat ini (PKR) tak ada apa pun,” kata Adun Sentosa itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, berkata pihak dalam kerajaan perpaduan yang ingin menyertai partinya harus berbincang dengan pimpinan parti asal bagi mengelakkan perpecahan.

Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

Katanya, terdapat pelbagai pendapat dalam kalangan ahli mengenai perkara itu dengan ada yang menerima dan sebaliknya.

“Cuma tiada ‘karpet merah’ untuk mana-mana pimpinan masuk ke dalam parti tetapi kena tunjuk keikhlasan dan agenda reformasi, insya-Allah ahli akan terima,” katanya.

Minggu lalu, FMT memetik sumber dalaman Umno Selangor berkata, rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata tiada sebarang pemakluman daripada menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berhubung ura-ura penyertaannya dalam PKR.

Ahad lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengesahkan ada perbincangan awal untuk Tengku Zafrul menyertai parti itu sambil menambah parti berpegang kepada prinsip terbuka menerima sesiapa saja tetapi tidak mengajak, selain mahu proses dilakukan secara baik.

Tengku Zafrul pula dalam kenyataan mengakui pernah mengadakan perbincangan awal dengan PKR, tetapi belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.