PGA rampas kosmetik seludup lebih RM92,000

PGA rampas kosmetik seludup lebih RM92,000

Rampasan dilakukan di pangkalan haram Kertas, Pengkalan Kubor, menerusi Op Taring Wawasan oleh Batalion 8 PGA pagi semalam.

Lima kotak mengandungi pelbagai barangan kosmetik diseludup dari Thailand bernilai lebih RM92,000 yang dirampas PGA. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lima kotak mengandungi pelbagai barangan kosmetik yang diseludup dari Thailand bernilai lebih RM92,000, pagi semalam.

Rampasan dilakukan di pangkalan haram Kertas, Pengkalan Kubor, menerusi Op Taring Wawasan oleh Batalion 8 PGA, pada 10.15 pagi.

Menurut Komander Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan dilakukan selepas pasukan itu melihat beberapa kotak ketika rondaan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima kotak mengandungi produk kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen yang sah. Produk kosmetik ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 92,100.00 dan kes disiasat di bawah Sek 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Dalam operasi berasingan pula, Nik Ros Azhan berkata mereka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit susulan penahanan dua individu warga Thailand berusia 40 dan 43 tahun.

Katanya, tangkapan dilakukan Batalion 7 PGA pada 8.15 pagi, membawa kepada rampasan barangan runcit tanpa permit bernilai RM24,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983. Barang rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah, Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.