Peter Cklamovski pengendali baharu Harimau Malaya

Peter Cklamovski pengendali baharu Harimau Malaya

Jurulatih dari Australia itu adalah bekas pengurus FC Tokyo.

Peter Cklamovski
Peter Cklamovski akan memulakan tugasan rasmi membimbing Harimau Malaya pada 1 Jan 2025. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peter Cklamovski dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya menggantikan Pau Marti Vicente.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, bekas pengurus FC Tokyo berusia 46 tahun itu pernah bekerja selama lebih 15 tahun bawah Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika bersama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F Marinos.

“Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan,” kata badan induk bola sepak negara dalam kenyataan.

FAM berkata, sebagai permulaan misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.

“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain FC Tokyo, Cklamovski juga pernah membimbing kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020 dan kelab Liga J2, Montedio Yamagata pada 2021.

FAM turut mengumumkan bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain sebagai jurulatih baharu skuad bawah 23 (B-23) negara.

Nafuzi pernah membimbing Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.

Beliau juga adalah Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 sebelum berhijrah menjadi ketua jurulatih KDA FC pada 2023 hingga 2024.

Cklamovski dan Nafuzi akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Jan 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.