Kerjasama Dr M-PN boleh pecah belah rakyat, jejas kerajaan, kata penganalisis

Kerjasama Dr M-PN boleh pecah belah rakyat, jejas kerajaan, kata penganalisis

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kerajaan Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian serius kepada kerjasama itu kerana ia boleh mengancam perpaduan negara.

muhyiddin yassin, mahathir mohamad n idris ahmad
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dan Perikatan Nasional setuju untuk bekerjasama bagi ‘memastikan kuasa Melayu tidak hilang’.
PETALING JAYA:
Kerjasama Dr Mahathir Mohamad dan Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kuasa orang Melayu mungkin boleh memberi kesan kepada kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kerajaan Anwar perlu memberi perhatian serius kepada kerjasama itu kerana ia berpotensi menimbulkan ketegangan antara rakyat dan mengancam perpaduan negara.

Beliau berkata, gabungan itu boleh memecahbelahkan hubungan antara orang Melayu dan bukan Melayu, membuatkan orang bukan Melayu semakin curiga terhadap PN.

“Ia akan melebarkan jurang segmentasi pengundi, terutamanya antara Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

Mahathir dalam sidang media pada Khamis lalu berkata, beliau dan pemimpin PN bersetuju untuk bekerjasama bagi menentang ‘musuh bersama’ orang Melayu demi ‘memastikan kuasa Melayu tidak hilang’.

Beliau mendakwa hak orang Melayu dirampas secara beransur-ansur di bawah kerajaan Anwar dan ini mendorong mereka bersatu bagi memperjuangkan hak masyarakat itu.

Mahathir turut disertai oleh pemimpin seperti Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, dan bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya dalam mesyuarat meja bulat itu.

Ketika ditanya mengenai motivasi kumpulan itu, Azmi berkata ia mungkin cubaan untuk meraih sokongan politik dan mencerminkan ‘keadaan terdesak’ Mahathir serta pemimpin PN untuk kekal relevan.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berpendapat, tiada apa yang perlu kerajaan Anwar bimbangkan.

“Mahathir pernah cuba bekerjasama dengan PAS tahun lalu, jadi ini hanyalah strategi sama beliau untuk menumpang pengaruh pemimpin Melayu lain. Tetapi saya tidak rasa ia akan memberi kesan besar kerana pengaruhnya semakin merosot,” katanya.

Beliau berkata tahun lalu, Mahathir cuba memanfaatkan gelombang hijau, namun gelombang itu kini semakin reda.

“Kini mereka cuba menggambarkan kerajaan perpaduan sebagai jahat, satu langkah populis klasik,” katanya. “Namun, ia sukar dilakukan kerana hubungan Umno dan Pakatan Harapan kini lebih stabil.”

Ditanya adakah kerjasama Mahathir dan PN akan menghalang usaha Anwar menarik sokongan orang Melayu, Syaza berkata sokongan komuniti itu memang sukar diraih oleh presiden PKR tersebut.

“Jadi, ia status quo. Mereka yang percaya kepada retorik Mahathir dan Muhyiddin adalah golongan yang tidak akan mengundi Anwar dalam apa keadaan sekali pun.”

Tambahnya, Anwar perlu menumpukan perhatian kepada pengundi di tengah-tengah yang bersikap lebih sederhana dan mereka yang masih berada di atas pagar.

“Kumpulan ini terdiri daripada dua golongan; Melayu yang tidak konservatif, dan mereka yang masih di atas pagar. Golongan ini mungkin Anwar mempunyai peluang untuk diyakinkan bagi menyokong kerajaannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.