
Rosmady Md Abu beritahu FMT bahawa beliau mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya. “Mungkin saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap dia kerana cemarkan nama saya. Ini seolah-olah saya tipu dan benda ini dah tular satu negara.”
Terdahulu, Nazmin mendakwa Rosmady dan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid mengadakan tujuh persidangan cawangan tanpa kebenarannya, selain menghantar laporan persidangan palsu dan membuat pemalsuan tandatangannya.
Nazmin berkata pihaknya sudah membuat aduan kepada pusat, justeru pada 7 Nov lalu setiausaha agung ketika itu Hamzah Zainudin mengarahkan cawangan terlibat iaitu Bayan Lepas, Ginting, Jalan Bharu, Sungai Kongsi, Sungai Pinang, Sungai Rusa dan Teluk Bahang bersidang semula.
Namun, dakwanya, pada 12 Dis lalu, Setiausaha Kerja Pusat Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan senarai perwakilan dengan menggunakan perwakilan daripada laporan persidangan enam cawangan yang didakwa dipalsukan oleh Rosmady dan Harris, dan satu keputusan daripada persidangan baharu sebuah cawangan.
Pemilihan berlangsung 14 Dis lalu menyaksikan Harris memenangi jawatan ketua bahagian Balik Pulau bagi sesi 2024 hingga 2027.
Harris dilapor berkata persidangan cawangan tersebut diadakan mengikut tatacara betul melibatkan senarai perwakilan yang layak mengundi, berdasarkan maklum balas pusat.
Mengulas lanjut, Rosmady mendakwa tandatangan Nazmin tidak diperlukan bagi melangsungkan mesyuarat cawangan, dan hanya tandatangan setiausaha bahagian.
“Saya jalankan tugas sebagai setiausaha bahagian dan kena ingat saya ada bos. Sebelum ini saya ikut arahan bos. Dia (Nazmin) yang kata minta saya uruskan,” katanya.