
Nazmin mendakwa Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid bersama bekas setiausaha bahagian Balik Pulau Rosmady Md Abu mengadakan tujuh persidangan cawangan tanpa kebenarannya.

“Mereka (Harris dan Rosmady) telah menghantar laporan persidangan palsu dan membuat pemalsuan tandatangan ketua bahagian penaja,” katanya kepada FMT.
Nazmin berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada pusat, justeru pada 7 Nov lalu setiausaha agung ketika itu Hamzah Zainudin mengarahkan cawangan terlibat iaitu Bayan Lepas, Ginting, Jalan Bharu, Sungai Kongsi, Sungai Pinang, Sungai Rusa dan Teluk Bahang bersidang semula.
Namun, dakwanya, pada 12 Dis lalu, Setiausaha Kerja Pusat Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan senarai perwakilan dengan menggunakan perwakilan daripada laporan persidangan enam cawangan yang didakwa dipalsukan oleh Rosmady dan Harris, dan satu keputusan daripada persidangan baharu sebuah cawangan.
“Saya membantah senarai perwakilan dikeluarkan oleh Suhaimi dan menegaskan penipuan dan pelanggaran Perlembagaan Bersatu akan hanya memberi impak buruk kepada integriti parti yang sepatutnya amanah dan menjalankan pengurusan mengikut undang-undang dan perlembagaan parti,” katanya.
Pemilihan berlangsung 14 Dis lalu menyaksikan Harris memenangi jawatan ketua bahagian Balik Pulau bagi sesi 2024 hingga 2027 dengan 45 undi, menewaskan pencabarnya, Adun Teluk Bahang Muhamad Kasim yang tidak mendapat sebarang undian.
Sementara itu, Harris berkata berdasarkan maklum balas pusat, persidangan cawangan tersebut diadakan mengikut tatacara betul melibatkan senarai perwakilan yang layak mengundi.
“Persidangan bahagian juga yang diarahkan diadakan pada 14 Dis lalu oleh setiausaha agung terdahulu iaitu Hamzah. Persidangan tersebut dihadiri oleh 46 perwakilan iaitu jauh melebihi korum minima 1/4 dan persidangan itu adalah sah.
“Setiausaha kerja telah memberi maklum balas terhadap bantahan yang dibuat, keputusan adalah persidangan diteruskan dan tiada perubahan senarai perwakilan. Keputusan muktamad,” katanya mengulas dakwaan Nazmin.