
Beliau yang juga menteri besar Terengganu turut menafikan timbul ‘keretakan’ dalam PN.
“Tidak berlaku keretakan sebenarnya. Saya boleh sebut macam tu (itu) la…tidak berlaku keretakan apa-apa.”
“Kita sedang mencari jalan untuk memperkukuhkan PN supaya menjadi suatu muafakat politik yang lebih kuat sebelum menghadapi pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi.
“Saya rasa boleh baca komen di Facebook menerusi petikan dari Kareem Abdul-Jabbar yang dikongsikan. Kalau boleh tafsir, tafsir kat situ la (ulas mengenai peletakan jawatan disebabkan masalah dalaman PN),” katanya menurut Sinar Harian di Kuala Terengganu.
Mengulas sama ada peletakan itu atas kerelaan sendiri, Samsuri tidak mahu mengulas lanjut sama ada peletakan jawatan berkenaan disebabkan masalah peribadi.
Menerusi mesej WhatsApp kepada FMT pada 12 Dis, beliau hanya menjawab ringkas dengan menghantar kata-kata hikmah pemain legenda bola keranjang berasal Amerika Syarikat (AS), Kareem Abdul-Jabbar.
“Saya cuba melakukan perkara yang betul di waktu yang tepat. Ia mungkin perkara kecil, tetapi biasanya ia boleh menjadi perbezaan antara menang dan kalah,” katanya.
Tindakan Samsuri meletak jawatan itu menyusul selepas mesyuarat tertinggi PN, Isnin lalu mengesahkan jawatankuasanya yang baharu termasuk melantik Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali ke jawatan sama bagi komponen itu.
Samsuri atau dikenali Dr Sam pernah disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri apabila PN membentuk kerajaan, yang turut diakui pengerusinya, Muhyiddin Yassin.