
Ketika ini, katanya, jawatankuasa itu sedang melengkapkan modul silibus pemulihan akidah bagi pengurusan tertinggi organisasi terbabit yang sedang ditahan pihak berkuasa.
“Jawatankuasa khas yang dipengerusikan (Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil, saya ingat telah siap kajian yang dibuat melibatkan modul dewasa dan kanak-kanak. Cuma laporan itu belum dikemukakan kepada saya.
“Mereka (jawatankuasa khas) juga sedang menyiapkan rangka modul khas melibatkan ketua tertinggi GISBH yang sekarang ditahan, yang itu pun sedang disiapkan,” katanya pada program Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Kedah oleh Skuad Musa’adah Al-Falah Madani di sini.
Beliau mengulas perkembangan pembangunan modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISBH oleh jawatankuasa khas (pemulihan akidah pengikut GISBH) yang sebelum ini di peringkat akhir.
Na’im berkata, sebaik saja modul pengurusan tertinggi GISBH siap, jawatankuasa itu akan mendapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri untuk menyampaikannya kepada golongan terbabit.
Sementara itu, Na’im berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuat pengumuman esok berhubung kos mengerjakan haji tahun depan.
“Esok Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman akan mengumumkan kos haji bagi 2025 dan selepas 12 tengah hari esok, insya Allah surat tawaran haji akan dikeluarkan.”
Dalam pada itu, beliau berkata, Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Kedah merangkumi pelbagai aktiviti seperti pembersihan kawasan banjir, kenduri rakyat serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir dan institusi agama.
Menurutnya, empat lokasi menjadi fokus program itu, iaitu Jeniang di Gurun, Sungai Jagong di Pendang, Derang di Pokok Sena dan Titi Besi di Alor Setar dengan keseluruhan bantuan melebihi RM829,000.
“Sumbangan tunai diberikan kepada institusi agama Islam dan pendidikan di lokasi terlibat dalam misi ini. Selain itu, bantuan tunai turut diberikan kepada penduduk terjejas.”