
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, adalah penting bagi komponen Pakatan Harapan (PH) itu untuk mengambil pendirian tegas terhadap isu rasuah bagi mengekalkan sokongan asasnya yang progresif dan berorientasikan reformasi.
“Pada masa yang sama, menjadi semakin penting bagi DAP khususnya, dan PH secara amnya, untuk terus berkuasa di sebanyak mungkin negeri dan di peringkat persekutuan.

“Jadi, DAP mesti berhati-hati mengimbangi dua keutamaan dan keperluan politik ini,” katanya kepada FMT.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, berkata sekiranya DAP bertindak keluar dari kerajaan negeri susulan dakwaan skandal itu, ia akan dilihat tidak lebih daripada sekadar gimik untuk meraih perhatian.
Katanya, setiap parti politik dijangka menentang segala bentuk salah laku, terutamanya rasuah, untuk mengekalkan sokongan penyokong sedia ada serta menarik pengundi baharu.
“Walaupun terdapat dakwaan rasuah dalam kalangan anggota parti tertentu, ini hanyalah dakwaan yang belum disokong oleh bukti kukuh.
“Oleh itu, DAP tidak seharusnya melayan dakwaan ini. Jika ia berlaku, parti itu akan dilihat sekadar mencari publisiti murahan,” katanya.
Pada Rabu, DAP menyatakan ia memberikan ‘mandat kepada DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan negeri’ susulan dakwaan skandal itu.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata terpulang sepenuhnya kepada DAP Sabah untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Kenyataan Loke itu dibuat sehari selepas Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, memuji Hajiji kerana enggan meluluskan lesen perlombongan kepada seorang ahli perniagaan yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.

Bilcher memberi amaran kepada DAP bahawa kenyataan Loke itu boleh dianggap oleh rakyat Sabah sebagai campur tangan kepimpinan DAP dari Semenanjung dalam hal ehwal negeri.
“Dengan kebangkitan politik berpusatkan Sabah sejak kebelakangan ini, DAP perlu menyesuaikan diri dengan arus itu jika mahu kekal relevan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, Oh tidak melihat ada percanggahan antara kenyataan Loke dan Wong. Katanya, kenyataan Loke menunjukkan jelas bahawa keputusan diserahkan kepada peringkat negeri.
“Kedua-dua kenyataan itu meliputi semua sudut dan tiada seorang pun mengambil pendirian tegas dan jelas,” katanya.