
Mengingatkan pelantikan Presidennya Yong Teck Lee ke jawatan itu atas ehsan PN pada 2020, Kiandee berharap parti itu mampu memenangi kerusi pada PRN Sabah tahun depan jika diberi peluang oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Yong antara enam Adun dilantik selepas PRN Sabah 2020 yang menyaksikan kerjasama PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah menewaskan Warisan Plus.
“Itu pun kalau mereka diberi kerusi oleh GRS memandangkan semua parti dalam itu pun rebut kerusi sama…macam Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Bersatu Sabah pun fokus DUN ramai pengundi Cina.
“Belum lagi kalau Pakatan Harapan (PH) masuk kerjasama, jadi saya harap mereka tidak lagi jadi Adun dilantik dan duduk dua kolam,” katanya kepada FMT.
Kiandee mengulas pengumuman Yong bahawa parti itu secara rasmi keluar dari PN selepas gabungan itu mahu bertanding dalam PRN Sabah yang didakwa bertentangan prinsip SAPP supaya semua 73 kerusi DUN Sabah ditandingi parti tempatan.
“SAPP tiada hak halang PN bertanding PRN Sabah.
“Mereka tentu tidak lupa PN menang 11 kerusi PRN lalu (sebelum beralih ke GRS), malah kerusi tunggal SAPP sebagai Adun dilantik adalah ehsan dari PN,” kata Kiandee yang juga naib presiden Bersatu.
Bulan lalu, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun menggesa SAPP memilih antara komponen itu atau PN dengan mengatakan bahawa parti itu tidak boleh berada dalam kedua-duanya serentak.
SAPP menyertai PN pada Ogos 2020, beberapa bulan selepas gabungan itu dibentuk secara rasmi oleh PAS dan Bersatu.
Rakan komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), juga merupakan komponen PN namun meninggalkan gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu pada Dis 2022 selepas pembentukan kerajaan perpaduan.