
Timbalan Presiden KHM, Ahmad Najmi Abdul Razak, berharap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku pemilik fasiliti dapat membuat pertimbangan mengenai perkara itu kerana kekerapan penganjuran konsert di stadium terbabit boleh mengganggu latihan skuad hoki kebangsaan.
“Kita ada berbincang dengan PSM, kalau betul (diadakan 26 konsert), satu tahun ada 52 minggu…26 konsert, bermaksud setengah tahun ia (stadium) akan ditutup. Padang hoki kemudahan utama untuk pasukan kebangsaan, bagaimanapun kami (KHM) belum mendapat pengesahan rasmi 26 konsert itu bakal diadakan.
“Bagi saya, kalau banyak sangat, ia sedikit sebanyak akan ganggu persiapan serta atur cara mahupun latihan disediakan jurulatih,” katanya menurut Bernama selepas Mesyuarat Agung KHM ke-70 di Menara Perkeso di Putrajaya.
Bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menerima 26 tempahan untuk penganjuran konsert bagi 2025.
Najmi dalam masa sama berharap wujud persefahaman antara kedua-dua pihak dalam memastikan latihan skuad kebangsaan tidak terjejas.
“PSM akan memanggil kami untuk berbincang lebih lanjut dan memberikan maklumat mengenai tarikh konsert dijadualkan. Kami harap PSM juga bekerjasama memastikan hari yang dijadualkan untuk latihan pasukan kebangsaan tidak terganggu.”