353 premis Kemas rosak akibat banjir 8 negeri

353 premis Kemas rosak akibat banjir 8 negeri

Ketua Pengarah Kemas Mohd Hanafiah Man berkata Kelantan paling teruk terjejas, selain Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.

KEMAS BENCANA BANJIR
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Mohd Hanafiah Man (kanan) melihat kesan banjir semasa melawat tabika Kemas Alor Gunung di Alor Setar hari ini. (Gambar Bernama) 
ALOR SETAR:
Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) rosak akibat banjir yang melanda lapan negeri sejak November lalu membabitkan kerugian hampir RM6 juta.

Ketua Pengarah Kemas, Mohd Hanafiah Man, berkata ia membabitkan 339 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska), 11 premis pendidikan kemahiran dan tiga Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).

Menurutnya, Kelantan paling teruk terjejas, selain Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.

“Kejadian banjir ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) membabitkan 7,673 kanak-kanak tabika dan taska serta 855 kakitangan kemas di negeri terlibat, terutamanya Kelantan dengan kerosakan agak serius berbanding negeri lain.

“Kita menggerakkan Skuad Ihsan Madani di seluruh negeri untuk misi bantuan banjir, termasuk kerja pembersihan premis dan kediaman terjejas. Keutamaan kami ialah memastikan operasi premis Kemas dapat disambung seperti biasa dengan segera,” katanya selepas melawat Tabika Kemas Alor Gunung yang terjejas banjir di sini.

Hanafiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah sudah mengarahkan Kemas membuat permohonan peruntukan baik pulih premis terbabit.

Katanya, Kemas sudah mengangkat permohonan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Muhd Khair Razman yang memberi maklum balas pada dasarnya, peruntukan yang dipohon diluluskan dan akan disalurkan sedikit masa lagi.

“Cuma, kalau peruntukan yang dapat itu tidak mencapai jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya kita dapat pastikan ia boleh digunakan semula untuk anak-anak dan kita utamakan faktor keselamatan serta kebersihan.

“Isu keselamatan itulah yang paling penting, kita tak nak nanti anak-anak masuk bangunan itu tidak selamat untuk mereka, selain itu kita juga sedang meneliti bangunan terjejas sama ada selamat atau tidak untuk digunakan.”

Sementara itu, Hanafiah berkata, pihaknya bersama KKDW sedang berusaha memastikan program pratahfiz yang dilaksanakan di tabika Kemas ketika ini dapat diteruskan kepada pelajar meskipun mereka sudah ke sekolah kebangsaan.

Menurutnya, antara langkah difikirkan termasuklah membenarkan pelajar dihantar ke tabika pada waktu petang bagi menyambung kelas tahfiz yang sudah mereka ikuti.

“Setakat ini, perkembangannya sangat menggalakkan dengan kalangan anak-anak yang mengikuti program terbabit menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam menghafal al-Quran.

“Kita mahu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan yang mungkin boleh membenarkan penggunaan kelas pada sebelah petang bagi meneruskan program itu.”

Setakat ini, lebih 4,000 tabika Kemas di seluruh negara menawarkan program berkenaan dan jumlah itu dijangka meningkat lebih sekali ganda tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.