
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Supang Lian memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengenakan beban bukti lebih tinggi atas perayu untuk membuktikan bahawa permohonannya bukanlah remeh.
“Bagi kami, hakim Mahkamah Tinggi, dalam menolak kebenaran, telah terlalu awal menjawab merit hujah pihak yang bertentangan, dan bukannya hanya memastikan bahawa terdapat hujah serius untuk ditentukan,” kata Supang ketika membacakan asas keputusan itu.
Beliau menegaskan, kebenaran tidak sepatutnya ditolak hanya berdasarkan fakta bahawa responden pertama, pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tidak mempunyai kewajipan berkaitan perintah mandamus yang dipohon.
Wanita itu turut memohon enam perintah deklarasi lain.
“Rayuan perayu adalah berasas dan dengan itu dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu diberi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi,” tambah Supang.
Panel yang mendengar rayuan itu turut dianggotai Hakim Lim Chong Fong dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Wanita berusia 27 tahun itu yang memfailkan permohonan kebenaran tahun lalu, turut menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kerajaan persekutuan sebagai responden.
Dia memohon deklarasi bahawa pendaftar mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi beragama Islam.
Wanita itu juga meminta namanya dikeluarkan daripada daftar muallaf dengan serta-merta, selain menyifatkan keengganan pendaftar untuk membuat keputusan terhadap permohonan bertulis pada 30 Jan, 20 Feb, dan 17 Mac tahun lalu sebagai tidak munasabah dan tidak rasional.
Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata, dia memeluk Islam dan mendaftar sebagai mualaf pada 18 Ogos 2017 untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu-Islam, namun hubungan itu berakhir tanpa perkahwinan berlaku.
Wanita itu diwakili peguam Iqbal Harith Liang, manakala peguam persekutuan Sallehuddin Ali mewakili kerajaan.