Jenazah bayi dibeku: Polis akan rakam keterangan hospital

Jenazah bayi dibeku: Polis akan rakam keterangan hospital

Ketua polis Selangor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa bayi lelaki itu hari ini.

hussein omar khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menyeru masyarakat agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang mampu menimbulkan kegusaran awam.
PETALING JAYA:
Polis akan merakam keterangan pihak hospital terlibat berhubung kejadian tular membabitkan jenazah bayi disimpan dalam peti sejuk mayat di Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa bayi berkenaan hari ini.

Kes diklasifikasikan bawah kertas inkuiri polis bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah, tambahnya.

“IPD Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menangani perkara ini dengan sebaik mungkin.

“Mereka yang berkaitan, termasuk pihak hospital, akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang mampu menimbulkan kegusaran awam.

“Dakwaan yang tidak disahkan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Semua pihak diharap bersabar bagi menunggu hasil siasatan yang sebenar,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial kisah jenazah bayi lelaki itu yang didakwa ditahan dan disimpan dalam peti sejuk mayat selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta selepas bapanya tidak mampu membayar bil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.