Jelajah Dunia: Cabaran Zii Jia berakhir kerana kecederaan buku lali

Jelajah Dunia: Cabaran Zii Jia berakhir kerana kecederaan buku lali

Pemain nombor lapan dunia, Lee Zii Jia, terpaksa menarik diri ketika mendahului wakil China.

lee zii jia
Lee Zii Jia (kanan) bersama pesaingnya, Li Shi Feng, selepas mengalami kecederaan buku lali di Jelajah Akhir Dunia BWF 2024.
KUALA LUMPUR:
Kecederaan buku lali kanan memaksa pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, melupakan hasrat memburu gelaran juara di Jelajah Akhir Dunia BWF 2024 selepas menarik diri ketika perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Hangzhou, China.

Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou, pemain nombor lapan dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa membuat keputusan tersebut ketika mendahului 15-11 menentang wakil tuan rumah, Li Shi Feng.

Team LZJ di platform X memaklumkan Zii Jia sedang mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan dan beliau keluar gelanggang dengan kerusi roda.

“Penyertaan Lee Zii Jia di #BWFWorldTourFinals2024 terpaksa berakhir disebabkan kecederaan buku lali kanan,” menurut kenyataan itu.

Keputusan menarik diri itu menyaksikan kemenangannya dalam dua perlawanan awal sebelum ini ke atas jaguh Taiwan, Chou Tien Chen, dan Anders Antonsen dari Denmark, di mana beliau sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir, dibatalkan.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya mengesahkan slot separuh akhir apabila mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan, 24-22, 21-12.

Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, gandingan nombor tujuh dunia itu mengambil masa 42 minit untuk mencapai kemenangan ‘straight set’, sekali gus muncul naib juara kumpulan.

Beregu negara itu akan mengiringi juara kumpulan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark ke pentas separuh akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.