
PETALING JAYA: Konvensyen nasional Amanah 2024 yang dijadual pada 28 dan 29 Dis ditangguhkan ke bulan depan, memandangkan bencana banjir melanda negara belum pulih sepenuhnya.
Konvensyen sayap Wanita, Pemuda dan Wanita Muda yang dijadual pada 27 Dis juga ditangguhkan.
“Jawatankuasa pimpinan nasional Amanah telah membuat ketetapan tarikh baharu diadakan pada 25 dan 26 Jan di KSL Esplanade Hotel, Klang.
“Manakala konvensyen sayap diadakan sehari sebelum itu, iaitu 24 Jan di lokasi sama,” menurut kenyataan Setiausaha Agung Faiz Fadzil.
Sebelum ini, PKR menangguhkan kongres tahunan yang dijadual pada esok hingga Ahad susulan bencana banjir berterusan di beberapa negeri.
Bagaimanapun, suatu kongres khas akan diadakan pada Ahad bagi meminda perlembagaan parti.