Umno kelihatan lemah berjuang untuk Najib, kata anak

Umno kelihatan lemah berjuang untuk Najib, kata anak

Nazifuddin Najib akui Umno sentiasa berjuang membebaskan bapanya, namun sikap diam diri terhadap titah adendum menjadikan PAS 'hero'.

Mohd Nazifuddin Najib
Ketua Umno Langkawi Nazifuddin Najib berkata musuh politik mengambil kesempatan ke atas titah adendum yang dikatakan untuk memecahkan Umno. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno kelihatan lemah dalam perjuangan pembebasan Najib Razak dari penjara, khasnya berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani tempoh penjara di bawah tahanan rumah, kata anaknya.

Sambil menegaskan Umno tidak pernah berhenti dalam usaha mendesak pembebasan Najib, Nazifuddin berkata, sikap berdiam diri berkait titah itu menjadikan PAS “hero”.

Beliau merujuk usul tergempar Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat bagi membincangkan titah adendum itu. Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan boleh mencetuskan krisis Perlembagaan.

“Macam yang Presiden Umno (Zahid Hamidi) kata, ada benda yang boleh kata, ada benda yang tak boleh dikongsi, tapi di situlah musuh-musuh kita ambil kesempatan. Di situlah kita menjadi lebih lemah dan orang nampak peluang untuk pecahkan Umno…dan itulah saya sedih.

“Tiba-tiba Takiyuddin buat macam ini (usul tergempar), ‘time corner’ (dekat selekoh) mereka datang…mereka jadi hero pulak,” kata Nazifuddin dalam audio siar “U Okay?” semalam.

Ketua Umno Langkawi itu juga memberi amaran isu titah adendum akan menjejaskan Umno dan kerajaan perpaduan pada PRU akan datang dan rakyat akan mengingati PAS dalam usahanya membantu Najib.

Nazifuddin berharap Mahkamah Rayuan pada 6 Jan depan akan menentukan sama ada wujud atau tidak titah adendum dikeluarkan kepada bapanya, yang sedang dipenjarakan.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam permohonan kebenaran difailkan Mahkamah Tinggi pada 1 April lalu, Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong terdahulu pada mesyuarat 29 Jan lalu mengeluarkan titah tambahan membenarkannya menjalani tahanan rumah bagi baki hukuman penjara.

Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan mengesahkan titah adendum berkenaan dan menguatkuasakannya.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu bagi membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Hakim Amarjeet Singh berkata Najib gagal membuktikan beliau mempunyai kes boleh dipertikaikan untuk mewajarkan pendengaran penuh permohonan semakan kehakiman dicadangkannya.

Hakim dilaporkan berkata, afidavit difailkan Najib, Zahid dan Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail bersifat dengar cakap semata-mata.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Jan depan bagi mendengar permohonan memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu dalam rayuan Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.