Tak kisah berapa ‘R’, Umno perlu pulih untuk BN kekal relevan, kata penganalisis

Tak kisah berapa ‘R’, Umno perlu pulih untuk BN kekal relevan, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata BN bertahan lama mentadbir Putrajaya secara dominan kerana kekuatan Umno.

barisan nasional
Pada konvensyen BN Ahad lalu Pengerusi Zahid Hamidi memperkenalkan tiga kerangka dalam usaha membawa gabungan itu maju ke hadapan serta kekal relevan iaitu penjenamaan, mentakrifkan dan menyusun semula atau ‘Rebrand, Redefine, Realign’ (3R). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga kerangka dikenali 3R (penjenamaan, mentakrifkan dan menyusun semula) yang diperkenal untuk membawa Barisan Nasional (BN) ke depan serta kekal relevan hanya akan berjaya jika kekuatan Umno mampu dikembalikan, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kemampuan BN bertahan lama mentadbir Putrajaya secara tunggal sebelum kalah pada PRU14 kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mengambil kira kekuatan Umno.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha memperkasakan BN harus bermula dengan Umno sebagai tunjang komponen berkenaan.

“Tak kira 3R atau beberapa R sekalipun, ia mesti dimulakan dengan Umno dan jika parti itu kuat…maka automatik MCA serta MIC pun kukuh.

“Itu hakikat perlu difahami bukan sahaja pemimpin Umno tetapi MIC dan MCA,” katanya kepada FMT.

Pada konvensyen BN Ahad lalu, Pengerusi Zahid Hamidi memperkenalkan tiga kerangka dalam usaha membawa gabungan itu maju serta kekal relevan iaitu 3R.

Katanya, pelan dibuat itu bersifat strategik, relevan dan tidak lapuk dek zaman, sambil menambah gabungan tidak boleh hanya mengharapkan kejayaan segera tanpa perancangan teliti.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, BN sepatutnya memperkenalkan slogan yang lebih mendekati rakyat kerana kekuatannya bergantung kepada masyarakat secara keseluruhan.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

Namun, beliau menyifatkan tindakan berkenaan dilihatnya sebagai langkah positif dan sebagai sebahagian proses penjenamaan pernah dilalui BN pada 1973, merujuk kepada perubahan nama daripada Perikatan.

Mazlan juga berpendapat, tindakan itu tepat pada masanya apabila melihat kemerosotan BN sejak zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU 2008, yang kebanyakan berkait isu integriti.

“Penjenamaan semula ini bagus kerana dahulu bila ubah nama daripada Perikatan kepada BN, mereka menang besar pada PRU pertama disertai.

“Jadi mungkin sudah tiba masa BN jenamakan semula relevan dengan kehendak rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.