
Hakim Shahrir Mohd Salleh, membenarkan perintah larangan itu selepas berpuas hati terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan dana terbabit berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, lapor Berita Harian.
Kerajaan menuntut dana berkenaan yang didakwa berasal daripada 1MDB melalui usaha sama dengan PSI, yang kini disimpan dalam akaun pelanggan firma guaman Clyde & Co LLP bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ).
PSOS-VZ ialah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL), manakala PSOSL ialah unit di bawah PSI, yang diasaskan bersama oleh Tarek.
PSI adalah sebuah syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi.
Shahrir berkata, selagi keterangan dikemukakan menunjukkan dana itu berkaitan peruntukan Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, mahkamah wajib membuat perintah yang melarang pihak terbabit daripada berurusan dengannya.
Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun mewakili kerajaan manakala peguam Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services, dan Mohd Yusof Zainal Abiden bertindak bagi pihak Tarek.
Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan bagi perintah sementara menghalang pihak terbabit daripada memindahkan wang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun escrow yang dipegang Clyde & Co.
Perintah itu bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ, yang kini berada dalam akaun berkenaan.
Pada Ogos tahun ini, Tarek disabitkan dengan kesalahan penyelewengan dana USD1.8 bilion daripada 1MDB oleh Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland dan dihukum penjara tujuh tahun.