
Katanya, beliau percaya dana dikatakan itu berasal daripada pemerintah Arab Saudi yang meninggal dunia, Raja Abdullah, menerusi Tanore Finance Corporation.
Najib berkata, beliau diberitahu bahawa Tanore dikawal Raja Abdullah, dan beliau menerima surat mengesahkan “derma” diberikan melalui firma tersebut.
“Saya sentiasa menganggap dana diterima itu sebagai derma politik yang dijanjikan oleh Raja Abdullah, dan begitulah cara saya membelanjakannya: bagi tujuan politik dan amal,” katanya.
Bekas perdana menteri itu turut mendakwa seorang lagi pemerintah, Raja Juan Carlos dari Sepanyol, menerima derma USD100 juta daripada Raja Abdullah, beberapa tahun awal.
Najib berkata, beliau tiada syak bahawa Tanore dikawal Raja Abdullah, sambil menambah beberapa negara Arab ada melabur di United Kingdom dan Wilayah Luar Negara British.
Katanya, beliau tidak dimaklumkan sebarang transaksi mencurigakan dalam akaunnya sama ada oleh AmBank atau Bank Negara Malaysia (BNM).
“Sistem digunakan di BNM adalah untuk memaklumkan kepada saya sebarang fakta mencurigakan, yang mana mereka tidak maklum atau tidak dapat mengesan,” katanya.
Katanya, beliau membuka akaun di bank tempatan bagi menerima derma dijanjikan bagi tujuan ketelusan.
“Jika saya mahu merompak wang 1MDB, saya boleh sahaja membuka membuka akaun pesisir seperti Jasmine Loo (Ai Swan) atau Amhari (Efendi Nazaruddin),” kata Najib, merujuk kepada bekas peguam 1MDB Loo, dan Amhari, bekas pegawai khasnya.
Najib berdepan 23 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.