
Dalam kenyataan, Kemas berkata laporan media bertajuk ‘Yuran taska dan tadika meningkat hingga 25%’ tidak melibatkan institusi pendidikan awal kendaliannya.
Katanya, laporan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa apabila ia memaparkan visual rakaman di salah satu tabika Kemas.
“Kemas ingin mengesahkan tiada kenaikan yuran akan dikenakan bagi sesi persekolahan tahun depan,” katanya.
Kemas menegaskan, pihaknya sentiasa prihatin terhadap bebanan rakyat dan berusaha meringankan kesulitan dihadapi masyarakat.
“Kami berharap ibu bapa kekal tenang dan terus menjadikan tabika Kemas sebagai pilihan utama dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan beberapa persatuan menaungi pengusaha tadika di Johor iaitu Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan masing-masing sekitar 20 hingga 25% tahun depan.
Katanya, keputusan itu dibuat kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi semasa, selain peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Feb 2025.