Roger Ng masih dalam tahanan, perlu lebih banyak bukti daripadanya, kata KPN

Roger Ng masih dalam tahanan, perlu lebih banyak bukti daripadanya, kata KPN

Razarudin Husain berkata bekas pegawai bank Goldman Sachs diperlukan untuk membantu siasatan lanjut bagi mendapatkan semula aset 1MDB.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh sebuah mahkamah New York selepas juri mendapati dia bersalah atas tuduhan rasuah pada Mac 2023. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng masih dalam tahanan polis kerana lebih banyak maklumat diperlukan daripadanya.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata bantuan Ng masih diperlukan untuk siasatan lanjut pihak berkuasa bagi mendapatkan semula aset 1MDB.

“Ada lagi maklumat yang kita perlukan mengenai dokumen, bukti untuk kita kaji dan lihat semula.

“Ia bukan seperti satu kertas, dua kertas…bukti itu banyak (yang perlu dikaji semula),” katanya selepas pelancaran buku ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah New York selepas juri mendapati dia bersalah atas tuduhan rasuah pada Mac 2023.

Tetapi, beliau dihantar ke Malaysia pada Oktober 2023 untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha mendapatkan semula aset 1MDB.

Semalam, Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri Najib Razak, berkata mereka akan memfailkan permohonan dengan Mahkamah Tinggi untuk menemu bual Ng.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengulangi polis belum menerima sebarang laporan berhubung cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam laporan dikeluarkan Khamis lalu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.