Potensi hasil 5.3 juta pek beras hilang akibat banjir

Potensi hasil 5.3 juta pek beras hilang akibat banjir

Jumlah potensi yang hilang akibat bencana ini memberikan kesan besar kepada bekalan beras putih negara, kata Arthur Joseph Kurup.

sawah padi
KPKM turut menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk membantu pesawah mengurangkan kerugian dialami akibat banjir.
PETALING JAYA:
Malaysia kehilangan potensi hasil 5.3 juta pek beras 10kg akibat bencana banjir setakat ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup.

Jumlah potensi yang hilang akibat bencana ‘luar biasa’ ini, katanya, memberikan kesan besar kepada bekalan beras putih di negara ini.

“Setakat ini, kita kehilangan 5.3 juta pek 10kg kampit beras dalam pasaran … lenyap begitu sahaja akibat banjir yang melanda negara kita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai keberkesanan inisiatif dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menangani isu kekurangan bekalan beras putih.

Dalam pada itu, Arthur berkata, KPKM menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk membantu pesawah mengurangkan kerugian dialami akibat banjir.

“Pesawah layak menerima bantuan RM1,800 per hektar untuk maksimum tiga hektar bergantung kepada keluasan yang telah musnah,” katanya.

Tambahnya, pesawah juga boleh memohon bantuan sehingga RM3,000 per musim bawah Agrobank Skim Takaful Tanaman Padi yang dilancarkan Oktober lepas.

Arthur berkata, pada tahun ini, KPKM menyediakan peruntukan RM30 juta untuk bantuan dari segi pembaikan prasarana yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, katanya, bagi menangani isu kekurangan beras putih, KPKM menambah empat langkah reformasi institusi dan industri padi beras sebagai fokus utama sekali gus melipatgandakan program Gelombang Padi.

Langkah-langkah ini melibatkan pemisahan kuasa dan fungsi institusi pengurusan industri padi beras, pengenalan peraturan larangan pencampuran beras putih dan beras import, memperkukuh kawal selia penguatkuasaan serta memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Menurut Arthur, kesemua langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.