Jelaskan segera mengapa markah 20% dah lulus, KPM diberitahu

Jelaskan segera mengapa markah 20% dah lulus, KPM diberitahu

NUTP berkata wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di media sosial terhadap skema pemarkahan baharu bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

sekolah
Seorang ahli akademik Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore bimbang skema pemarkahan ujian yang semakin rendah boleh melahirkan pelajar malas dan kurang daya saing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kesatuan guru menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjawab kebimbangan ibu bapa di media sosial berkait dakwaan markah lulus Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kini 20% bukannya 40% seperti sebelum ini.

Malah ahli akademik Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut bimbang keadaan itu boleh menimbulkan tanggapan masyarakat mendakwa semakin ramai pelajar malas dan kurang berdaya saing.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata penjelasan segera wajar untuk menghilangkan keresahan ibu bapa terhadap skema pemarkahan terbabit.

“KPM kena beri penjelasan kepada ibu bapa justifikasi berhubung penetapan skema markah itu yang disebarkan di media sosial,” katanya kepada FMT.

Berdasarkan hantaran di Facebook oleh bekas pendidik Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali ‘Cikgu Fadli’, beliau memaparkan skema pemarkahan bagi setiap subjek seperti berikut:

Cemerlang – A (82% hingga 100%)
Kepujian – B (66% hingga 81%)
Baik – C (50% hingga 65%)
Memuaskan – D (35% hingga 49%)
Mencapai tahap minimum – E (20% hingga 34%)
Belum mencapai tahap minimum – F (0% hingga 19%)

Pemerhatian FMT di beberapa akaun Facebook sekolah turut mendapati skema pemarkahan sama dipaparkan.

Seorang guru enggan dikenali yang mengesahkan perkara terbabit bimbang muridnya cepat berpuas hati dengan markah lulus 20%.

UASA diperkenalkan pada sesi akademik 2022/2023 sebagai instrumen penilaian murid tahun 4,5 dan 6 di peringkat sekolah rendah manakala tingkatan 1, 2 serta 3 bagi sekolah menengah yang dinilai berdasarkan penilaian bilik darjah (PBD).

Dua penilaian itu diperkenalkan dalam sistem pendidikan susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), masing-masing pada 2021 serta 2022.

Sementara itu, Effendi yang juga pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM berkata walaupun UASA bukan bertujuan membandingkan prestasi atau pencapaian antara murid, tetapi pemikiran tidak perlu belajar bersungguh-sungguh perlu dikikis dengan pengenalan skema pemarkahan baharu itu.

Ini kerana, katanya perubahan markah lulus itu boleh dilihat daripada pertimbangan perspektif berbeza.

“Aspek pembinaan item soalan seperti kesukaran soalan itu sendiri yang berbeza memandangkan item set soalan disediakan sekolah sendiri.

“(Selain itu) julat markah ini berfokuskan usaha mengenal pasti pelajar yang belum mencapai tahap minimum atau gred F bagi tujuan intervensi lanjutan,” katanya.

FMT telah menghubungi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan untuk mendapat maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.