
Mengulas laporan FMT kelmarin yang melaporkan harapan komunitinya supaya perhatian turut diberi kepada sukan terbabit, Adam berkata kerajaan mengakui wujud isu dari segi kapasitinya yang terhad.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun ini KBS banyak menyokong dengan menyediakan geran padanan sukan dan dana sukan komuniti bagi membantu penggiatnya dalam pelbagai disiplin.
“Melalui Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, kita beri penakrifan aktiviti seperti taekwando dan silat sebagai sukan bukan lagi di bawah pasukan beruniform…ini dapat bangunkan ekosistem peringkat akar umni.

“Isunya kapasiti terhad, sebab itu kita turut pastikan sokongan bandar korporat untuk bersama membangunkan sukan tempur yang mempunyai ramai peminat serta melahirkan ramai jaguh mengharumkan nama negara,” katanya kepada FMT.
“KBS sangat alu-alukan dan sedia jadi penyelaras bagi meningkatkan bantuan badan korporat untuk sukan tempur.”
Dalam laporan FMT Ahad lalu, komuniti sukan tempur masih merasakan kegiatan terbabit seolah-olah dipandang sepi kerana kekurangan sokongan daripada pelbagai pihak bagi mengembangkannya ke peringkat lebih tinggi.
Max Lee, penganjur Mega Fight Night (MFN) di Shah Alam pada 30 Nov lalu berkata antara kekangan utama adalah kewangan kerana menanggung kos lokasi, peralatan, logistik dan bayaran kepada petarung yang sepatutnya layak menerima bayaran berpatutan atas usaha keras mereka.
Kekangan lain termasuk cukai hiburan 25% yang didakwa terlalu tinggi dan masalah kelulusan penganjuran pertandingan yang adakalanya mengambil masa lama.