
Ia susulan taklimat selama sejam kepada beberapa Ahli Parlimen mengenai isu kenaikan kadar premium insurans di Dewan Rakyat hari ini.
Taklimat bermula 9 pagi dipengerusikan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour, bertujuan menjelaskan kepada Ahli Parlimen mengenai alasan di sebalik kenaikan itu.

“Saya telah menghadiri sesi pembentangan mengenai inflasi kos perubatan dan penentuan semula harga insurans dan takaful perubatan serta kesihatan pagi tadi.
“Kerajaan menjelaskan beberapa faktor kenaikan premium…antaranya Malaysia merekodkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) menjadikan (negara) yang tertinggi di Asia, (selain) tuntutan kesihatan semakin tinggi dan kenaikan kos inflasi perubatan serta isu gaji tenaga kerja seperti jururawat, doktor dan sebagainya.
“Apa pun kita tunggu keputusan daripada kerajaan. Namun libat urus berlangsung pagi tadi memang bagus. Maksudnya perdana menteri (Anwar Ibrahim), menteri kewangan II, BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) ambil maklum tentang permasalahan dibangkitkan,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan mengenai isu sama memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi langkah untuk memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap kos perubatan seperti ‘diagnostic related group’ (DRG) atau kumpulan berkaitan diagnosis bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dalam negara lebih munasabah dan adil.
Beliau berkata, ia antara langkah jangka panjang akan dilaksanakan melalui KKM, selain melakukan pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Sim berkata, ketika sesi taklimat itu beliau turut mengambil peluang mengemukakan syor kepada kerajaan supaya mempertimbang untuk memberikan moratorium sebelum keputusan mengenai kenaikan kadar premium insurans perubatan diumumkan.
“Saya ada cadang tapi ia terpulang kerana kita faham isu ini kompleks dan perlu menjadi semua pemegang taruh. Cadangan moratorium itu mereka perlu teliti. Tapi tak apa kerana kerajaan umumkan untuk melaksanakan langkah interim untuk tangani isu berkait,” katanya.