
Setiausaha Agung Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pihaknya belum menerima maklumat daripada kerajaan jika ada peluang kedua diberikan.
Katanya, baki 99.87% yang setuju dengan opsyen SSPA akan menikmati gaji baharu mulai bulan ini.
“Kalau tak tandatangan, secara automatik dia (penjawat awam) menolak, ia akan kekal. Manakala yang tandatangan memang dia puas hati, ini kadar kenaikan yang tertinggi,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas sama ada kerajaan akan memberikan peluang kedua kepada penjawat awam yang tidak menandatangani SSPA, sebaliknya memilih kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Sebelum ini, mereka diberi tempoh selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan SSM, sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis lalu.
Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dilaporkan berkata kira-kira 1,400 penjawat awam tidak menandatangani SSPA dan jumlah itu kecil berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam ketika ini.
Sementara itu, Rahman berkata, antara punca penjawat awam tidak setuju dengan opsyen SSPA disebabkan terpengaruh dengan berita tidak benar di media sosial dan terikut-ikut dengan politik.
“Tapi, penjawat awam berada bawah Yang di-Pertuan Agong, kenapa mereka nak takut…bukan orang politik boleh kawal kita, yang berkuasa adalah Agong, kalau ikut perlembagaan…sebab itu rakyat kena faham Perlembagaan Malaysia,” katanya.