
Mohd Rafiee Abdullah, 27, yang berdepan tiga pertuduhan, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan.
Hakim Mohd Kafli Che Ali memerintahkan semua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap 3 Dis lalu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun enam bulan di sebuah stor di Jalan Kuchai Lama, Brickfields antara 5.29 pagi dan 5.54 pagi 28 Nov serta sebuah unit pangsapuri di Cheras pada 7.30 malam 30 Nov lepas mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat.
Lelaki itu turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama di tandas sebuah dewan di Taman Gembira, Brickfields mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Shakira Aliana Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara secara berasingan, mengambil kira faktor kepentingan awam.
Beliau berkata, hukuman berat bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah memberi mesej kepada pesalah di luar sana bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan jenayah seperti ini.
“Mangsa dalam kes ini kanak-kanak 14 tahun dan OKU kategori ketidakupayaan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD).
“Mangsa sepatutnya dilindungi, lebih-lebih lagi orang seperti tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan.”
Rafiee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan memohon hukuman penjara tiga pertuduhan itu berjalan serentak.