Amira harap Syed Saddiq turut bertanding pemilihan Muda

Amira harap Syed Saddiq turut bertanding pemilihan Muda

Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menawarkan diri kerana mahu menyuburkan proses demokrasi dalam parti Muda.

Muda-Amira Aisya Abdul Aziz
Pemangku Presiden Amira Aisya Abdul Aziz bercakap pada sidang media di pejabat Muda.
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz mengumumkan akan bertanding pada pemilihan parti tahun depan, namun tidak mengumumkan jawatan terbabit.

Amira menggantikan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada November tahun lalu yang mengosongkan kerusi itu kerana ingin menumpukan proses rayuan sabitan bersalah berkait salah guna dana Pemuda Bersatu bernilai RM1 juta.

Bagaimanapun, Adun Puteri Wangsa itu tidak memberi butiran lanjut berhubung kerusi bakal ditandinginya.

“Ya, saya akan bertanding dalam pemilihan untuk menyuburkan demokrasi dalam parti Muda,” katanya pada sidang media di pejabat Muda.

Beliau pada masa sama berharap Syed Saddiq akan dapat bertanding pada pemilihan Muda dijangka suku kedua tahun depan, walaupun nasibnya belum lagi dapat diketahui.

Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan 19 dan 20 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuah dihadapinya.

“Itu kena tanya Syed Saddiq tetapi saya sebagai pemangku presiden mempunyai harapan yang besar agar beliau juga turut sama dalam pemilihan Muda,” kata Amira.

Pada 9 Nov tahun lalu, Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000 juga milik Pemuda Bersatu.

Dia juga disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.

Hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 19 dan 20 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman rasuah dihadapinya.

Mengulas lanjut, Amira berkata parti juga sebulat suara melantik bekas calon DUN Bukit Gasing VKK Rajasekaran sebagai pengarah pemilihan Muda. Mengikut perlembagaan parti, pemilihan perlu diadakan setiap tiga tahun selepas parti itu mengadakan pemilihan parti

“Proses pemilihan akan bermula di peringkat Parlimen, mengikut sistem perwakilan dan kemudian akhirnya ke peringkat pusat dan saudara Raja (Rajasekaran) akan menerajui proses tersebut,” katanya.

Pemilihan parti kali ini adalah pertama bagi Muda selepas pendaftarannya diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Disember 2021.

Bagi menyuburkan proses demokrasi parti, Amira berkata Muda telah membuat beberapa pindaan termasuk berkait dengan proses pemilihan parti pada Mei lalu dan telah menghantar dokumen tersebut kepada JPPM untuk kelulusan.

“Kita telah mendapat maklumat dari pegawai RoS bahawa pindaan yang kita hantar tak bermasalah maknanya kalau ikutkan Akta Persatuan Malaysia, pindaan itu telah diluluskan namun kita masih lagi menunggu kelulusan dari RoS secara rasmi.

“Namun begitu, saya tak berniat untuk melewatkan pemilihan parti hanya kerana kita belum mendapat kata putus dari RoS, jadi hari ini selepas beberapa perbincangan dengan pimpinan, kita ambil keputusan untuk memulakan proses pemilihan secepat mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.