‘Jangan hina speaker’, Johari tolak desakan timbang keputusan gantung MP Pendang

‘Jangan hina speaker’, Johari tolak desakan timbang keputusan gantung MP Pendang

Johari Abdul berkata beliau telah beberapa kali memberi peluang kepada Awang Hashim untuk membuat permohonan maaf.

Speaker Dewan Rakyat Johari
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta semua pihak menghormati keputusannya selepas didesak pembangkang untuk mempertimbang semula keputusan menggantung Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak desakan pembangkang supaya beliau mempertimbang semula keputusan menggantung Awang Hashim (PN-Pendang) selama 10 hari daripada menghadiri sidang Parlimen.

Beliau menegaskan keputusan itu telah dipertimbang secara mendalam selain beberapa kali memberi peluang kepada Awang membuat permohonan maaf selepas menghinanya menerusi video TikTok pada 18 Jul lalu.

“Saya sudah dengar semua ini, saya perlu ketepikan perbezaan politik, maknanya saya tak main politik.

“Semua dalam dewan ini kawan-kawan saya. Namun begitu saya juga mesti ada pegangan. Sebab itu bila seorang ahli dewan menghina saya, di luar dewan hari itu yang kena eject (arah keluar dewan) yang eject bukan saya, tapi timbalan saya. Bila dia (Awang) kena (arah keluar dewan pada 18 Jul) pemberita tanya, dia kata inilah speaker zalim, saya dengar dalam tv, apa hal?” kata Johari.

Johari berkata beliau juga telah meminta Awang memohon maaf atas perlakuannya tetapi tidak diendahkan.

“Sebab itu saya kata, apa juga kami kata hari ini, jangan hina speaker,” katanya sambil meminta semua pihak menghormati keputusannya.

Tedahulu beberapa Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta Johari mempertimbangkan semula penggantungan Awang kerana ia didakwa tidak berpelembagaan.

Menurut mereka, isu dibangkitkan itu dibuat di luar Dewan Rakyat dan ia boleh dibawa ke mahkamah jika speaker tidak berpuas hati.

Khamis lalu Awang digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Parlimen kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menerusi video TikTok dan gagal memohon maaf.

Johari berkata Awang telah mengeluarkan kenyataan menghinanya menerusi platform media sosial itu, dengan mendakwa dirinya sebagai speaker telah berlaku zalim terhadapnya dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurut Johari, wakil rakyat PAS itu tidak memohon maaf walaupun beliau telah menghantar surat pada 22 Jul selain meminta setiausaha Dewan Rakyat serta Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan menasihatkan Awang berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.