Syarikat balak patut bantu tanggung kerja tebatan banjir, kata PSM

Syarikat balak patut bantu tanggung kerja tebatan banjir, kata PSM

Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pembayar cukai tidak seharusnya dibebani dengan kos penuh projek sedemikian, terutamanya di Pantai Timur.

banjir kemaman
Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj mendakwa banjir menjadi begitu teruk disebabkan penyahhutanan yang semakin meluas, terutamanya di Kelantan dan Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru syarikat pembalakan agar menyumbang sebahagian keuntungan mereka kepada kerajaan untuk disalurkan ke arah projek tebatan banjir, khususnya di Pantai Timur.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, langkah ini bagi mengelakkan kerajaan persekutuan daripada terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dana awam untuk membiayai kerja-kerja tersebut.

“Mengapa pembayar cukai perlu menanggung kos penuh sedangkan syarikat pembalakan meraih keuntungan berjuta-juta?” soalnya, ketika dihubungi FMT.

Michael Jeyakumar
Michael Jeyakumar.

Beliau berkata demikian susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ahad lepas mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM25 juta bagi Kelantan dan Terengganu masing-masing, selepas kedua-dua negeri itu dilanda banjir besar.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, dana itu akan digunakan untuk membaiki prasarana penting seperti jalan raya dan sistem perparitan.

Menurut Jeyakumar, banjir menjadi begitu teruk disebabkan penyahhutanan yang semakin meluas, terutamanya di Kelantan dan Terengganu, di mana hutan semula jadi digantikan dengan kawasan balak.

“Sehingga 80% air hujan yang diserap oleh tanah hutan tidak mengalir ke sungai kerana ia bertindak seperti span, menambah air bawah tanah dan membantu mengawal aliran air.

“Apabila kita memusnahkan hutan, kita mengganggu proses semula jadi ini, yang boleh membawa kepada banjir yang lebih besar,” katanya.

Perkara ini disokong Rimbawatch, badan pemantau alam sekitar bebas yang berkata, penyahhutanan meluas berlaku di kedua-dua negeri, dengan Kelantan kehilangan 54,000ha hutan antara 2017 dan 2021.

Adam Farhan
Adam Farhan.

“Laporan baharu yang diterbitkan tahun ini mendapati Kelantan dijangka menebang hutan seluas 233,000ha, manakala Terengganu 55,000ha, hanya untuk dijadikan kawasan balak,” kata pengarahnya Adam Farhan kepada FMT.

Jeyakumar menggesa kerajaan agar menjalankan audit ke atas projek-projek tebatan banjir yang sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana ia sedang dilaksanakan.

Nadzri Yahaya
Nadzri Yahaya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan bahawa program ramalan dan amaran banjir Pantai Timur tidak berkesan, menunjukkan kadar ketepatan hanya 5.6%, walaupun RM145 juta dilaburkan antara 2015 dan 2022.

Bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Sumber Asli Nadzri Yahaya berkata, audit seperti itu perlu mengkaji sama ada langkah-langkah seperti benteng dan pengorekan sungai berkesan dalam usaha menahan kesan hujan lebat.

“Kerajaan perlu mengkaji semula perkara ini kerana banjir monsun akan menjadi lebih buruk akibat perubahan iklim,” kata Nadzri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.