
Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata, INSG berfungsi sebagai suatu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat ketika ini.
“Namun demikian SKMM menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah proaktif dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.
“Pendekatan ini memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan itu dan memberikan maklum balas penambahbaikan,” menurut kenyataan itu.
SKMM berkata, INSG bukan bertujuan menambah peraturan baharu, sebaliknya untuk meningkatkan keupayaan dan ketersediaan penyedia perkhidmatan untuk mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan prasarana serta melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian.
Pada fasa pembangunan INSG, SKMM secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen penyedia termasuk pusat data dan penyedia perkhidmatan awan, kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, NGO, ahli akademik dan forum bawah SKMM.
“Maklum balas, cadangan dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan jika sesuai, ia diserapkan ke dalam INSG,” kata SKMM.
“Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen SKMM untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi.”
SKMM berpandangan, INSG merupakan suatu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan prasarana rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.
“Ini mencerminkan usaha berterusan SKMM untuk menangani cabaran landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara.”
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan ini, sila lawati https://www.mcmc.gov.my.