‘Ramai’ wakil rakyat dah isytihar harta, kata Fahmi

‘Ramai’ wakil rakyat dah isytihar harta, kata Fahmi

Saranan Wong Chen agar penjawat awam mengisytiharkan harta hanya pandangan peribadinya, kata jurucakap kerajaan perpaduan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan, beliau juga telah mengisytiharkan hartanya sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil meremehkan gesaan Ahli Parlimen Subang Wong Chen agar kerajaan mewajibkan wakil rakyat mengisytiharkan harta dengan berkata, ‘ramai Ahli Parlimen’ sudah berbuat demikian.

Fahmi yang juga menteri komunikasi mendedahkan, beliau juga telah mengisytiharkan hartanya sebelum ini.

“(Pengisytiharan harta) tidak jadi isu … mungkin dalam konteks apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Subang berkait penjawat awam itu, pandangan (beliau),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai.

Semalam, Wong yang juga Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan mewajibkan pengisytiharan harta bagi wakil rakyat, namun mengakui parti komponen kerajaan perpaduan mungkin enggan berbuat demikian.

“Jika kita tidak dapat melakukannya kerana sekutu-sekutu kita tidak berminat dengan isu sebegini, sekurang-kurangnya kita laksanakan ke atas penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, pengisytiharan harta oleh hakim dan anggota perkhidmatan awam, termasuk ketua setiausaha kementerian dan timbalan masing-masing mampu meningkatkan ketelusan dan memupuk keyakinan.

Awal hari ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjelaskan bahawa penjawat awam diwajibkan mengisytiharkan harta setiap lima tahun, syarat yang akan diteruskan bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, bahagian undang-undang setiap agensi bertanggungjawab memantau proses itu.

Kerajaan sebelum ini pernah menyatakan hasrat memperkenalkan pengisytiharan aset bagi Ahli Parlimen dan pegawai pentadbiran.

Penjawat awam kini dikehendaki mengisytiharkan harta kepada ketua jabatan mereka.

Pada Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, format pengisytiharan harta yang disemak belum muktamad, tetapi beliau menjangka versi yang dikemas kini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri ‘tidak lama lagi’.

Bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai perkara itu setakat ini.

Fahmi berkata, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengenai perkara itu juga harus dilihat sebagai pendapat peribadinya.

Ong sebelum ini mempersoalkan mengapa penjawat awam, bukan ahli politik yang dipilih, perlu mengisytiharkan harta mereka dahulu.

“Bukankah ketelusan sesuatu yang disokong oleh kerajaan Madani?” soalnya di Instagram semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.