Komuniti sukan tempur harap sokongan kerajaan

Komuniti sukan tempur harap sokongan kerajaan

Penganjur acara dan jurulatih mohon kerajaan dan pihak lain turut beri perhatian kepada perkembangan sukan tempur.

mme muay
Mega Fight Night (MFN) yang berlangsung di Shah Alam bulan lalu menghimpunkan petarung dari dalam dan luar negara.
PETALING JAYA:
Muhammad Johan Ghazali Zulfikar antara sensasi baharu dalam Muay Thai sekali gus menambah ‘seri’ kepada sukan tempur Malaysia yang ramai atletnya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Atlet lain mencipta nama dalam sukan tempur dan bertanding di One FC seperti Anne Osman dan Agilan Thani.

Kelahiran Johan, 18, atau mesra dipanggil Jojo pastinya hadir daripada perkembangan pesat sukan tempur dalam negara menerusi penganjuran banyak pertandingan seperti Mega Fight Night (MFN) di Shah Alam pada 30 Nov lalu.

Namun, di sebalik perkembangan positif itu, komunitinya masih merasakan sukan terbabit seolah-olah dipandang sepi kerana kekurangan sokongan daripada pelbagai pihak bagi mengembangkannya ke peringkat lebih tinggi.

Max Lee
Max Lee.

Bercakap kepada FMT, penganjur MFN Max Lee berkata penganjuran sesebuah program sukan tempur mempunyai banyak cabaran namun mereka tetap melakukannya kerana ingin mempromosikan Malaysia sebagai tumpuan jaguh antarabangsa.

“Salah satu kekangan pastinya kewangan kerana perlu bayar kos lokasi, peralatan, logistik dan bayaran kepada petarung yang sepatutnya layak menerima bayaran berpatutan atas usaha keras mereka.

“Satu daripada isu kami adalah perlu bayar cukai hiburan 25% tetapi konsert hanya 6%, cukai tinggi itu menyebabkan sukar hendak mengembangkannya lagi,” dakwanya.

“Kami harap kerajaan dapat melihat aspek itu dan bantu kurangkan sedikit-sebanyak beban.”

Pengamal sukan seni bela diri Danial Chee pula mendakwa, mereka sering berdepan masalah kelulusan penganjuran pertandingan yang adakala mengambil masa lama.

Danial Chee.
Danial Chee.

“Ini menambah beban penganjur yang tanggung kos tinggi anjurkan sesebuah pertandingan, namun begitu kami faham kepentingan keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya yang mengaitkan dengan usaha menarik minat masyarakat.

“Ia memerlukan pemasaran yang luas untuk menarik minat orang awam menonton pertandingan sukan tempur, tetapi ia tak murah.”

Jurulatih Muay Thai Selangor, Mohd Suffian Suhaimi, pula berharap kegiatan itu akan diberi perhatian sama seperti sukan popular seperti bola sepak dan badminton kerana potensinya sangat besar.

“Kalau diberi sokongan dan diurus baik, Malaysia boleh menjadi destinasi pelancongan bagi penggemar sukan tempur seperti di Thailand.

“Ramai sanggup membayar harga mahal untuk menjalani latihan di sana, jadi dengan sedikit bantuan kita boleh bangunkannya di Malaysia yang manfaatnya kepada semua termasuk ekonomi,” katanya.

Max dan Danial mengakui sokongan telah diberikan Kementerian Belia dan Sukan namun ia perlu ditingkatkan dengan memberikan pelbagai insentif untuk menyemarakkan sukan tempur.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kami perlu sokongan kerajaan seperti geran, subsidi dan proses mudah penganjuran acara,” kata Max.

FMT telah menghubungi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli untuk maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.