Kenal pasti pelajar bermasalah saring kesihatan mental, KPM diberitahu

Kenal pasti pelajar bermasalah saring kesihatan mental, KPM diberitahu

Kementerian Pendidikan juga perlu memasukkan dalam kurikulum mahupun aktiviti kokurikulum sekolah mengenai kesihatan mental.

Pakar mencadangkan guru melaksanakan pengajaran ke arah ‘pendidikan menyeronokkan’.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mewajibkan sekolah mengenal pasti pelajar berisiko tinggi atau mempunyai masalah disiplin bagi memeriksa tahap kesihatan mental supaya dapat dirawat lebih awal.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, berkata selain itu KPM juga perlu memasukkan dalam kurikulum mahupun aktiviti ko-kurikulum sekolah mengenai kesihatan mental.

Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

“Amat penting permasalahan kesihatan mental dikesan awal dan diberikan rawatan secukupnya di peringkat (sekolah),” katanya kepada FMT, mengulas peningkatan dua kali ganda masalah kesihatan mental kanak-kanak dan belia.

Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan daripada 7.9% iaitu 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5% (922,318 orang) tahun lalu.

Selain itu, idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9% pada 2012 kepada 13.1% pada 2022.

Mengulas lanjut, Muhammad menyarankan kerajaan memperbanyakkan latihan kepada pakar dalam bidang psikologi terutama bagi merawat kanak-kanak dan remaja.

“Amat membimbangkan jika penambahan pakar bidang ini tidak diberi keutamaan dan akan merencatkan kebolehdapatan rawatan yang efektif dan berunsur ‘evidence-based’.

“Selain itu, bilangan psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar khususnya dalam bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja memerlukan penambahan bagi menampung keperluan dalam mendapatkan rawatan psikiatri, psikologi dan kaunseling,” katanya.

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad.

Sementara itu, Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaa Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, mencadangkan guru melaksanakan pengajaran ke arah ‘pendidikan menyeronokkan’.

Beliau memberikan contoh, bagi mata pelajaran sejarah, guru boleh melaksanakan aktiviti seperti lakonan watak kerana ia mampu membantu pelajar menghadapi tekanan kerana tidak lagi ‘tepu’ dengan rutin pembelajaran dalam kelas.

“Jadi, tahap kanak-kanak yang menghadapi tekanan sudah menjadi kuat kerana dia berkembang, minda relaks. Jadi tekanan yang datang dari luar dapat ditangani lebih efisien berbanding cari jalan lain dengan terjebak merokok dan dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.