
Dalam catatan di Facebook, A Kadir Jasin, berkata menggunakan penyelesaian diplomatik lebih bermanfaat kepada Malaysia, memandangkan konteks sejarah dan undang-undang kompleks berkisar kedaulatan Batu Puteh.
“Sebaik-baiknya janganlah berhenti dengan usaha menghukum Dr Mahathir saja. Yang lebih afdal adalah bagi kerajaan Malaysia Madani melakukan yang lebih baik bagi mendapatkan ‘ganti rugi’ dalam bentuk lain melalui perhubungan baiknya dengan Singapura.”
Beliau turut merujuk dokumen utama, satu surat jawapan oleh pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor bertarikh 21 Sept 1953, menyatakan Johor tidak menuntut hak ke atas Batu Puteh.
“Kalau kita faham kandungan surat kerajaan negeri Johor itu, kita terpaksa terima hakikat yang kita tidak pernah memiliki Batu Puteh atau nama Portugisnya, Pedra Branca.”
Kadir berkata, membuat laporan polis untuk semata-mata mahu menyumbat Mahathir ke penjara tidak banyak menyelesaikan masalah.
“Kesimpulannya, tidak ada masalah hendak buat laporan polis dengan tujuan sumbat Dr Mahathir dalam penjara. Saya rasa Dr Mahathir tidak ada masalah disiasat. Malah beliau sentiasa mengalu-alukan peluang seperti itu,” katanya merujuk peluang menjelaskan keadaan sebenar.
Kadir mengulas laporan Suruhanjaya Diraja mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan, yang mengesyorkan siasatan jenayah terhadap Mahathir kerana menipu.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah terbabit boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.
Laporan ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya dipengerusikan Md Raus Sharif yang juga bekas ketua hakim negara, menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan mendapatkan semula Batu Puteh walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.
Dalam laporan akhir dinyahklasifikasikan, berkata Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan permohonan walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.
Kata laporan itu, dengan membuat keputusan itu, Mahathir menyebabkan kerugian salah kepada kerajaan Malaysia.
Namun, dua ahli suruhanjaya – bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali dan pakar undang-undang, Faridah Jalil, berpandangan tindakan Mahathir tidak meneruskan permohonan semakan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) merupakan satu pengabaian tugas dan tidak terjumlah sebagai kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.