1,400 penjawat awam tolak SSPA

1,400 penjawat awam tolak SSPA

Ketua pengarah perkhidmatan awam berkata tiada lagi peluang kedua jika mereka berubah hati selepas tarikh akhir 30 Nov.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata jumlah penjawat awam tidak tandatangan SSPA mewakili 0.13% berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya 0.13% atau sekitar 1,400 penjawat awam menolak menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selepas tempoh opsyen berakhir pada 30 Nov.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata jumlah itu kecil, berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam.

Katanya, penjawat awam yang tidak memilih opsyen itu adalah perkara biasa dan mereka mungkin sudah membuat pertimbangan sewajarnya.

“Kita tidak memaksa kerana percaya ada pertimbangan khusus dibuat oleh mereka, tetapi kerajaan sentiasa melakukan sesi libat urus bagi mereka yang tidak memilih opsyen ini supaya tidak menyesal kelak.

“Selepas tempoh berakhir pada 30 Nov lalu, kita dapati yang tidak menandatangani SSPA ini hanya 0.13% iaitu sekitar 1,400 daripada 1.5 juta penjawat awam. Mereka berada dalam kumpulan pengurusan, pelaksana dan profesional,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kampung Angkat Madani JPA di Pulau Aman, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Wan Ahmad Dahlan ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan tidak akan melanjutkan atau membuka semula tawaran itu, sekiranya ada penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen berkenaan berubah hati.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh opsyen bermula 21 Okt hingga 30 Nov, untuk memilih SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji antara 7 hingga 15% melalui pelarasan SSPA.

Katanya, kenaikan membabitkan kumpulan pelaksana, pengurusan, dan profesional sebanyak 15%, manakala pengurusan tertinggi 7%.

Ketika mengumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Anwar berkata, pelarasan akan dilaksanakan secara berfasa mulai bulan ini.

Beliau berkata, bagi kumpulan pelaksana, pengurusan, dan profesional akan menerima kenaikan fasa 1 sebanyak 8%. Fasa 2 kumpulan itu akan menerima kenaikan 7% bermula 1 Jan 2026.

Manakala, kumpulan pengurusan tertinggi, fasa 1 akan menerima kenaikan 4% bermula 1 Dis dan fasa 2 kenaikan 3% bermula 1 Jan 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.