Zahid yakin ‘ada cahaya di hujung terowong buat Bossku’

Zahid yakin ‘ada cahaya di hujung terowong buat Bossku’

Zahid Hamidi berkata mustahil untuk BN melupakan jasa Najib Razak kepada gabungan itu.

najib
Zahid Hamidi berkata bukan mudah untuk Najib Razak melalui perkara dihadapinya kini.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi yakin ‘ada cahaya di hujung terowong’ buat bekas perdana menteri Najib Razak dan keluarganya.

Malah, beliau berkata mustahil untuk gabungan itu melupakan jasa pernah dicurahkan Najib kepada BN.

“Ada perkara yang boleh dikongsi dan ada yang tidak boleh dikongsi. Kami berasa berat hati, kami tahu bukan mudah untuk beliau melalui semua ini,” katanya ketika berucap pada Ulang Tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sering membangkitkan perbincangan mengenai situasi Najib di setiap mesyuaratnya.

Kenyataan Zahid itu menyusul ucapan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, bahawa parti terhutang budi kepada Najib yang banyak membela nasib masyarakat India dalam negara.

Saravanan berharap ada usaha baharu digerakkan oleh kerajaan khususnya BN dalam membela nasib bekas pemimpin BN itu.

Sebelum ini, anak sulung Najib, Muhammad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum bagi membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Dokumen itu didakwa diterima Nizar pada 2 Dis atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Najib, 71, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.