Zahid mahu KPM kembalikan nama SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin

Zahid mahu KPM kembalikan nama SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin

Timbalan perdana menteri akan membawa perkara itu ke Kabinet.

zahid hamidi
Zahid Hamidi pada sambutan Ulang Tahun BN ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengembalikan nama asal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Omar Ong Yoke Lin yang ditukarkan kepada SJKC Gamuda Cove.

Timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Kabinet.

“Saya amat bersetuju apa dilontarkan Wee (Ka Siong) kerana pandangan MCA mahu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin untuk dikembalikan, (saya) setuju, ini bukan soal perkauman,” katanya pada sambutan Ulang Tahun BN ke-50 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Terdahulu, presiden MCA itu berkata nama pengasas MCA, Omar diluluskan oleh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid pada 26 Okt 2017 bagi nama asal sekolah berkenaan namun digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove, 4 Dis lalu.

Wee dalam ucapannya berkata, Omar adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, malah beliau juga menteri dalam Kabinet perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Beliau memeluk Islam pada 1961.

“Tak layakkah Tun Omar Ong Yoke Lin diberi pengiktirafan oleh negara? Keputusan ini telah pun dimaklumkan kepada balu (beliau) iaitu Toh Puan Aishah Ong pada tujuh tahun lalu.

“Media juga telah melaporkan keputusan KPM pada 2017 tersebut. Di mana keadilan sejagat buat pemimpin BN Tun Ong Yoke Lin,” soal Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.