Pahang, Johor diramal terjejas gelombang ke-2 esok

Pahang, Johor diramal terjejas gelombang ke-2 esok

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan telah atur gerak persiapan berdepan musibah itu.

ahmad zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata gelombang kedua banjir dijangka berterusan selama dua minggu bermula esok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok, dengan Pahang dan Johor antara negeri dijangka terjejas dengan bencana itu.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata di Sabah dan Sarawak pula, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini hingga Mac.

“Kita harap supaya tidak terjadi sepertimana gelombang pertama, kali ini gelombang kedua mungkin akan melibatkan Johor dan Pahang dengan lebih berat lagi, namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset dan pegawai serta anggota dan peralatan telah kita atur gerak.

“Kita harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha yang dilakukan oleh NGO di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pelepasan sukarelawan Skuad Misi Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional (BN) ke Pantai Timur dan Utara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Zahid berkata, setakat ini kurang 10,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 153,000 pada 1 Dis, melibatkan 45,000 keluarga.

Beliau berkata, hingga kini sejumlah 222,000 mangsa banjir telah disantuni, sambil menzahirkan penghargaan atas kerjasama NGO yang luar biasa dalam membantu mangsa banjir termasuk menerusi kerja-kerja pembersihan pascabanjir.

Mengulas mengenai misi bantuan banjir berkenaan, Zahid yang juga pengerusi BN berkata, ia merupakan bukti gabungan parti itu melakukan kerja tidak bermusim dengan memberikan khidmat bantuan kepada masyarakat sepanjang masa tanpa mengira ketika bencana atau pilihan raya.

“Ramai orang tolong sebelum dan ketika banjir, tetapi tidak ramai yang bantu selepas banjir, maka keprihatinan dan pertolongan BN selepas banjir menunjukkan keprihatinan BN tidak bermusim. Kita tetap menyantuni rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sukarelawan pascabanjir berkenaan terdiri daripada 300 Pemuda, Wanita, dan Puteri BN serta 100 Umno Siswa yang melibatkan tujuh kenderaan pacuan empat roda, dua van, 15 lori, dan satu treler.

Mereka turut membawa 1,000 pek bantuan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.