Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dijangka operasi semula Isnin

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dijangka operasi semula Isnin

Lapangan terbang di Alor Setar itu ditutup sebelum ini akibat banjir.

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim
Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim terjejas banjir sejak 29 Nov lalu. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang ditutup sejak 29 Nov lalu berikutan daerah Kota Setar dilanda bencana banjir, dijangka dibuka dan beroperasi semula pada Isnin.

Pengurus Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Ikram Alif Mansoor, berkata pihaknya positif dapat membuka landasan di lapangan terbang itu secepat mungkin.

“Kita telah memaklumkan mengenai penutupan landasan ini hingga esok, jadi akan cuba untuk membuka landasan ini secepat mungkin tetapi sekiranya tidak boleh mungkin tambah masa dalam sehari atau dua lagi sebelum ia boleh beroperasi semula.

“Kerja-kerja pembersihan telah dan sedang dijalankan, pembaikan peralatan juga dilakukan. Fokus utama adalah untuk membersihkan tempat yang kritikal iaitu kawasan kapal terbang mendarat dan setakat ini ia sudah dibersihkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau memberi penerangan dan perkongsian mengenai situasi semasa LTSAH yang terjejas akibat banjir baru-baru ini kepada Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Ikram Alif berkata, ketika ini pihaknya perlu menguji beberapa perkara bagi melihat dan menilai kerosakan akibat banjir itu, namun tiada kerosakan besar dikesan.

“Landasan kapal terbang ini sejauh 2.7km dan semasa banjir tempoh hari, kawasan landasan ditenggelami air sedalam 50cm, kawasan laluan teksi 80cm dan kawasan apron hanya 4cm.

“Sepanjang tempoh penutupan landasan itu, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan. Dianggarkan 20 hingga 24 penerbangan masuk dan keluar dari Alor Setar sehari…kita akan buat keputusan esok dan pihak penerbangan juga akan buat keputusan sama ada membenarkan kapal terbang syarikat mereka masuk keluar Alor Setar atau tidak,” katanya.

Ikram Alif berkata, bagi mengelakkan situasi seperti ini daripada berulang, perbincangan akan diadakan bersama Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani.

Pada 29 Nov lalu, Malaysia Airport memaklumkan landasan di LTSAH ditutup sementara susulan banjir memburuk melanda Kota Setar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.